Wednesday, November 30, 2011

3 SEBAB MENGAPA KITA HIDUP DI DUNIA INI....

1. utk sujud menyembah ALLAH
"Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama yang lurus[1595], dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian Itulah agama yang lurus." al-Bayyinah-5

[1595] Lurus berarti jauh dari syirik (mempersekutukan Allah) dan jauh dari kesesatan.

2. Utk menjadi khalifah di muka bumi
" Dan Dia lah yang menjadikan kamu penguasa-penguasa di bumi dan Dia meninggikan sebahagian kamu atas sebahagian (yang lain) beberapa derajat, untuk mengujimu tentang apa yang diberikan-Nya kepadamu. Sesungguhnya Tuhanmu Amat cepat siksaan-Nya dan Sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." al-An'am : 165

3. utk menyeru kebaikan dan membanteras kejahatan
" Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar[217]; merekalah orang-orang yang beruntung " al-Imran : 104

[217] Ma'ruf: segala perbuatan yang mendekatkan kita kepada Allah; sedangkan Munkar ialah segala perbuatan yang menjauhkan kita dari pada-Nya

Thursday, September 29, 2011

KONSEP KEADILAN DALAM ISLAM - Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Written by Akademi Tarbiyah Dewan Pemuda PAS Pusat
SUMBER : http://www.tarbawi.my
Print

ISLAM mewajibkan sikap adil dalam keluarga. Ketua keluarga yang disebut suami wajib berlaku adil dalam melaksanakan tanggungjawab terhadap mekanisme berkeluarga, memberi nafkah kepada anak isteri dan mendidik mereka supaya menjadi orang yang baik. Maksudnya, manusia bukan sahaja wajib menunaikan keperluan asas, dalam masa yang sama wajib menunaikan keperluan rohani yang menjadi ciri hidup bagi seseorang manusia. Waris lelaki yang terdekat wajib mengambil alih menunaikan kewajipan apabila wanita tiada suami dengan sebab kematian, perceraian dan sebagainya. Di sinilah hikmahnya golongan lelaki mendapat bahagian sekali ganda daripada bahagian perempuan dalam pembahagian harta pusaka.

Islam mengizinkan poligami kerana menangani masalah masyarakat, dengan syarat wajib berlaku adil terhadap keluarga dalam semua urusan secara menyeluruh, meliputi isteri dan anak-anak. Sekiranya seseorang itu tidak mampu berlaku adil atau zalim maka haram baginya berpoligami.

Allah menegaskan menerusi ayat 3 surah An Nisa' yang bermaksud, "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja".

Isu poligami menjadi sasaran musuh Islam dan mereka yang jahil dan sombong di kalangan umat Islam. Mereka sebenarnya mempertikaikan hukum Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Adil. Poligami adalah penyelesaian daripada Allah bagi menghadapi masalah masyarakat, jangan anggap ia semata-mata untuk memuaskan nafsu.

Peningkatan jumlah wanita daripada lelaki dengan kelahiran, bencana alam atau peperangan tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Itulah penyelesaian daripada Allah dengan alasan wajib yang menjamin keadilan keluarga. Sesiapa yang melanggarnya, terimalah balasannya di dunia dan di akhirat. Pihak kerajaan juga wajib memantau masalah keluarga agar berlaku adil kerana keluarga adalah komponen masyarakat yang wajib keluarga dipelihara dengan baik dan saksama.

Hubungan kejiranan ditegaskan dengan kewajipan yang besar, sehingga kewajipan terhadap jiran digabungkan bersama beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan jirannya, sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata-kata yang baik atau diam".

Jiran perlu dimuliakan tanpa mengira agama yang dianut kerana Nabi Muhammad S.A.W sendiri memberi hak kejiranan kepada yang bukan Islam. Baginda bangun berdiri apabila jenazah seorang penganut agama Yahudi lalu di hadapan Baginda. Adalah berdosa apabila seseorang yang beriman membiarkan jirannya menderita kesusahan tanpa apa-apa pertolongan.

Dalam masyarakat generasi awal umat Islam, tidak wujud rumah kebajikan bagi orang tua dan anak yatim, kerana mereka tidak ada yang terbiar dalam kelompok masyarakat. Berlaku zalim terhadap anak yatim, ibu tunggal dan jiran adalah dosa besar. Kewajipan dan perintah ini dijaga oleh setiap masyarakat kerana takut berdosa.

Islam juga mewajibkan hubungan secara kemanusiaan, walaupun berbeza agama. Hak rakyat bukan Islam dalam Negara Islam hendaklah dijamin dengan seadil-adilnya, tanpa mengira kaya atau miskin. Penganut agama Islam diwajibkan membayar zakat bagi membela orang-orang yang memerlukan bantuan melalui zakat fitrah, zakat harta simpanan, zakat perniagaan, zakat pertanian, zakat ternakan dan lain-lain.

Penganut bukan Islam pula dikenakan bayaran jizyah (sumbangan diri), kharaj (daripada hasil pertanian) dan usyur (daripada perniagaan) dengan cara yang tidak zalim dan tidak membebankan. Seperti juga harta kutipan zakat, harta ini digunakan bagi membantu mereka yang susah. Jelasnya orang Islam dan bukan Islam tetap dikenakan bayaran. Perbezaannya ialah, amalan zakat bersifat ibadat dan aspek ibadat Islam tidak boleh dipaksa terhadap penganut bukan Islam.

Pada zaman Khalifah Umar berlaku peristiwa menarik, Abu Ubaidah bin Al Jarrah mengambil keputusan membatalkan bayaran jizyah daripada penduduk bukan Islam di wilayah Jordan dan wang yang sudah dipungut juga dipulangkan'semula. Tindakan ini dibuat kerana ancaman tentera Rom Timur menyebabkan kerajaan Islam tidak dapat menjamin keamanan penduduk bukan Islam.

Antara syarat mengambil jizyah, pemerintah hendaklah menjaga keselamatan rakyat dan hak-hak yang lain. Penduduk bukan Islam tersebut tidak mahu mengambil wang tersebut sebaliknya menegaskan mereka lebih rela berada di bawah pemerintahan Islam. Mereka menyedari keadilan pemerintahan Islam dan kezaliman penjajah Rom Timur yang seagama dengan mereka.

Suatu ketika Khalifah Umar bertemu dengan seorang tua penganut agama Yahudi yang meminta sedekah. Peminta sedekah itu lalu dibawanya kepada pengawal Baitulmal dan meminta supaya diberi bantuan yang cukup kepadanya sehingga akhir hayat. Khalifah Umar berkata, "Alangkah tidak baiknya kerana kita mengambil bayaran jizyah pada masa muda dan sihatnya, kemudian kita biarkan dia apabila dia tua".

Institusi Kehakiman Teraju Utama Masyarakat Bersih & Adil

Institusi kehakiman adalah perkara penting bagi menegakkan keadilan sebenar dalam masyarakat secara praktikal. Undang-undang yang adil sekalipun, kadang-kadang menjadi tidak adil dengan sebab pelaksanaannya pincang. Hukum Islam yang dinyatakan oleh Allah Yang Maha Adil, dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasul yang bersifat adil perlu dilaksanakan dengan adil juga. Islam menetapkan cara yang menjamin dan mengukuhkan tegaknya keadilan dalam aspek kehakiman. Antaranya menetapkan pemisahan kuasa kehakiman daripada dipengaruhi oleh badan yang lain.

Syarat hakim, saksi, keterangan dan adab mahkamah dan hakim mestilah dengan cara yang jelas dan wajib. Mereka yang terlibat dalam bidang ini mestilah seseorang yang sanggup bertanggungjawab dengan Allah dan sesama manusia. Badan kehakiman adalah satu kewajipan yang ditetapkan oleh Al Quran, hadis Nabi Muhammad S.A.W dan ijma'. la termasuk dalam urusan ibadah, pemerintahan dan memikul amanah besar dalam Islam, walaupun ianya fardu kifayah.

Banyak ayat Al Quran yang mewajibkan melaksanaan hukum Allah dengan adil, disertakan dengan amalan Nabi Muhammad dan Para Sahabat.

Hukum yang berkait dengannya dan adab-adabnya, menjadi fardu ain kepada orang yang ditugaskan menjadi hakim.

Badan kehakiman diberi hak mengendalikan pertelingkahan dalam masyarakat dengan kebebasan yang tersendiri, tanpa diganggu oleh pihak yang lain. Nabi Muhammad sebagai Rasul pilihan Allah menjadi contoh yang ulung dan unggul, tidak menyalahgunakan haknya menjadi ketua negara apabila berlaku pertelingkahan antara manusia dan dalam banyak perkara.

Baginda S.A.W berjaya memisahkan kedudukannya sebagai ketua negara dan tidak mempengaruhi kehakiman dengan melantik orang lain menjadi hakim dalam perkara yang melibatkan peribadinya tanpa apa-apa gangguan. Keadaan ini menyebabkan orang Yahudi dan Musyrikin yang paling bermusuh dengan Islam berubah menjadi penganut dan sahabat yang setia. Mereka melihat keadilan Islam secara langsung terhadap diri mereka sendiri dan perkara ini tidak berlaku di kalangan mereka sebelum kedatangan Islam.

Sebelum wafat, ketika dalam keadaan uzur, Nabi Muhammad S.A.W. datang ke masjid. Setelah menunaikan solat, Baginda menyampaikan pidatonya yang berbunyi; "Sesiapa yang aku pernah jatuhkan maruahnya sila tampil untuk beritahu, supaya aku dihukum kerana menzalimi maruahnya. Sesiapa yang pernah aku zalimi hartanya, sila nyatakan, supaya aku boleh membayar gantinya. Sesiapa yang aku pernah pukul belakangnya, ini dia belakangku silalah balas ke atas belakangku ini".

Khalifah Umar bin Al Khattab pernah bertelingkah dengan seorang Arab Badwi selepas membeli kudanya. Beliau menyedari kuda itu cacat sewaktu menunggangnya dan ingin membatalkan pembelian. Khalifah Umar memulangkan kuda itu kepada tuannya dan meminta kembali harga yang dibayar, tetapi si Badwi itu menolak. Khalifah Umar tidak memaksanya tetapi menyerahkan hal ini kepada Badan Kehakiman supaya hak mengendalikan pertelingkahan dalam masyarakat dilaksanakan dengan penuh ketelusan dan tanggungjawab, dengan kebebasan yang tersendiri, tanpa diganggu oleh pihak yang lain.

Generasi Sahabat yang awal menerima tarbiyah yang menanamkan iman, melahirkan takwa dan menjadikan mereka pemimpin yang paling berwibawa yang pernah dilahirkan oleh Baginda Rasulullah S.A.W, bertindak dengan adil serta memantau badan kehakiman di semua peringkat perkara ini di hadapan Hakim Syuraih yang dilantiknya. Oleh kerana kecacatan berlaku di luar tempoh membatalkan jualan, Hakim Syuraih memutuskan jualan itu tidak boleh dibatalkan.

Menurut satu peristiwa lain, baju rantai besi kepunyaan Khalifah Ali hilang, tiba-tiba dijumpai berada di tangan seorang Yahudi kafir yang paling bermusuh dengan umat Islam. Khalifah Ali tidak merampasnya secara paksa, tetapi dibawa ke mahkamah. Apabila Khalifah Ali tidak dapat mengemukakan saksi, hakim tidak membenarkan baju rantai besi itu dirampas, sebaliknya diserahkan kepada Yahudi itu.


Setelah keluar dari mahkamah, lelaki Yahudi itu menghadap Khalifah Ali. Dia mengaku baju rantai besi itu sebenarnya kepunyaan Khalifah Ali, lalu menyerahkannya kepada khalifah dan berikrar masuk Islam kerana melihat keadilannya.

Kesemua cerita ini dan banyak lagi cerita sepertinya menunjukkan kerajaan Islam adalah kerajaan yang paling awal melaksanakan sistem pemisahan kuasa badan kehakiman daripada badan yang lain dalam kerajaan. Tujuannya bagi menegakkan keadilan dalam aspek perundangan.

Ini menunjukkan bahawa keadilan Islam dalam aspek kehakiman adalah menyeiuruh terhadap semua makhluk tanpa mengira anutan agama, pangkat dan kedudukan seseorang.

Keadilan Undang-Undang Islam

Nabi Muhammad adalah contoh umat yang terbaik, dilantik oleh Allah mengikut pilihan-Nya, ditarbiyah dan dikawal dengan sifat-sifat yang wajib pada diri-Nya. Benar, amanah, menyampaikan semua ajaran Allah, bersifat bijak dan terpelihara daripada melakukan kesalahan.

Sekiranya berlaku kesilapan juga, itu adalah kerana Allah ingin menunjukkan hikmah di sebaliknya dan dengan tujuan Allah ngin membetulkannya dengan wahyu dan sebagainya. Sesungguhnya Rasul itu memiliki sifat manusia, tetapi dikawal selia oleh Allah bagi menjadi contoh kepada orang lain. Melalui Nabi Muhammad S.A.W, Allah peringatkan manusia dan menunjukkan cara beramal dengan Al Quran.

Sesungguhnya Allah Taala menegaskan di dalam Surah An Nahl ayat 44 yang bermaksud, "(Kami utuskan Para Rasul itu) membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang membuktikan kebenaran mereka) dan Kitab-kitab suci (yang menjadi panduan); dan Kami pula turunkan kepadamu (Wahai Muhammad) al-Quran yang memberi peringatan, 'supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan supaya mereka memikirkannya".

Penjelasan dan penerangan daripada Nabi Muhammad itu dinamakan hadis atau sunnah, ia menjadi pentafsir secara praktikal dan tepat.

Golongan yang menolak hadis adalah golongan yang sesat kerana bercanggah dengan kenyataan Al Quran sendiri, serta hakikat yang berlaku pada zaman Nabi Muhammad yang mewajibkan para sahabat mengumpulkan hadis dengan amanah. Banyak perintah Al Quran yang tidak menyatakan cara amalannya seperti ibadat dan Iain-lain dan ini memerlukan penjelasan cara amalannya daripada Nabi Muhammad S.A.W.

Walaupun hadis yang banyak itu sudah bercampur dengan perkara-perkara yang tidak sihat dari segi kesahihannya, tetapi Allah Taala melahirkan para sarjana berwibawa lagi amanah daripada segi ilmu dan akhlaknya supaya dapat mengumpulkan semuanya dengan cermat dan bertanggungjawab. Mereka memilih dan menapis hadis tersebut dengan teliti berpandukan ilmu, amanah dan akhlak mereka Al Quran yang memberi peringatan, supaya engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka.

Mereka mengkaji dan meneliti semua hadis tersebut yang terkumpul di dalamnya segala ucapan, amalan, keputusan dan pengakuan Nabi Muhammad S.A.W dalam masa 23 tahun melaksanakan tugas menjadi Rasul.

Para sarjana juga merekodkan secara khusus hadis yang berkait dengan aspek cara hidup dari segi individu, keluarga, masyarakat dan negara, ini termasuklah bidang perundangan dan kehakiman bagi melaksanakan keadilan, selama tempoh pemerintahan Islam pada zaman Nabi Muhammad S.A.W dan para sahabat di seluruh wilayah Islam pada zamannya.

Sehubungan itu, Allah menegaskan dalam Al Quran menerusi ayat 7 surah Al Hasyr maksudnya, "Apa-apa yang dibawa oleh Rasul, hendaklah kamu mengambilnya".

Apa-apa yang dibawa oleh Rasulullah itu bukan sahaja apa yang disebut dalam Al Quran, tetapi termasuk juga perkara yang tidak disebut di dalamnya. Setiap orang di kalangan Khulafa' Rasyidin bertindak bertanya kepada Para Sahabat berkaitan tindakan Nabi Muhammad S.A.W apabila mereka tidak mendapatinya dalam Al Quran. Apabila pasti tidak ada maklumat, barulah mereka akan bertindak menceri penyelesaian dengan kebijak^naan tersendiri.

Perundangan Islam – Utamakan mencegah bukan menghukum

sumber : www.blogtokguru.com

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ وَمَنْ يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ يُدْخِلْهُ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ(13
وَمَنْ يَعْصِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَتَعَدَّ حُدُودَهُ يُدْخِلْهُ نَارًا خَالِدًا فِيهَا وَلَهُ عَذَابٌ مُهِينٌ (14)- النساء: 13-14

Yang bermaksud : Itulah batas-batas (Syariat) Allah. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga yang mengalir dari bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan itulah kejayaan yang amat besar. Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan RasulNya, dan melampaui batas-batas SyariatNya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api neraka, kekalah dia di dalamnya, dan baginya azab seksa yang amat menghina. – Surah Al-Nisa’, ayat 13-14

Tema sambutan Hari Hududullah pada tahun 1432 Hijrah ini ialah “Hudud Satu Pencegahan dan Pendidikan, Bukan Hukuman”. Bermakna perundangan Islam termasuk hukum hudud amat mengutamakan prinsip mencegah dan mendidik umatnya ke arah keharmonian hidup bermasyarakat.

Oleh itu, di dalam al-Quran, perkataan hudud disebut sebanyak 11 kali di dalam 7 ayat yang dirangkumi di dalam 5 surah yang berlainan. Satu ayat daripadanya membicarakan tentang hukum hakam puasa, tiga daripadanya tentang hukum cerai dan iddah, dan satu ayat lagi membicarakan tentang hukum faraid atau pembahagian harta pusaka, seperti mana ayat tersebut di atas. Kemudian, satu ayat juga menceritakan sikap orang-orang munafik yang suka melanggar hudud Allah dan satu lagi membicarakan tentang hukum zihar.

Penelitian terhadap ayat-ayat tersebut memberikan kefahaman kepada kita bahawa hudud bukanlah bermaksud hukuman ke atas penjenayah terhadap kesalahan-kesalahan seperti mencuri, berzina dan minum arak sahaja, tetapi lebih luas lagi ia mencangkupi semua batasan syariat yang ditentukan oleh Allah SWT. Justeru, satu silap faham yang sangat dikesalkan apabila disebut hudud, maka digambarkan sebagai satu hukuman yang kejam terhadap pesalah. Malah dilabelkan pula sebagai undang-undang primitif yang ketinggalan zaman. Sedangkan setiap pekara yang dibatasi oleh syariat dengan hukum halal dan haram dalam kehidupan manusia adalah disebut “hududullah” (hudud Allah).

Contohnya makan minum, dihalalkan oleh Allah SWT tetapi memakan perkara yang haram dikira melanggar hudud Allah. Melunaskan tuntutan fitrah manusia untuk berpasangan dibenarkan oleh Allah SWT melalui ikatan perkahwinan dan diharamkan jika dilakukan melalui bersekedudukan tanpa berkahwin yang menyebabkan hubungan zina dan ia dianggap melanggar hudud Allah. Nyata sekali, setiap perkara yang haram, melanggar perintah Allah SWT, maka dianggap melanggar hudud Allah SWT. Rasulullah SAW mengumpamakan perbuatan melakukan perkara yang haram ini seperti menceroboh tanah larangan milik Allah SWT. Sabda Rasulullah SAW:

أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكٍ حِمًى أَلَا إِنَّ حِمَى اللَّهِ فِي أَرْضِهِ مَحَارِمُهُ أَلَا وَإِنَّ فِي الْجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الْجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الْجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

Yang bermaksud : Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya larangan Allah di bumiNya adalah hal-hal yang diharamkanNya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada seketul daging, apabila daging itu baik maka seluruh tubuh itu baik. Dan apabila daging itu rosak maka seluruh tubuh itupun rusak. Ketahuilah, itulah qalb.­ – Hadis riwayat Bukhari.

Kekeliruan

Saya menyebut hakikat ini kerana kekeliruan yang timbul atau sengaja ditimbulkan di dalam negara kita bahawa hudud ertinya hukuman ke atas pesalah. Maka hudud telah diwajahkan dengan wajah yang begitu buruk dan mengerikan. Seolah-olah apabila hukum hudud dilaksanakan, semua tangan akan dipotong dan semua batu akan dijadikan lontaran untuk pesalah. Kita masih terngiang-ngiang kata-kata sinis yang dilontarkan sedikit masa lalu yang menyatakan: “Jika mahu menikmati sup tangan, silalah ke Kelantan’ dan “akan habislah batu-batu di Kelantan digunakan untuk melontar pesalah zina.” Paling dukacitanya, kata-kata itu terbit daripada bibir orang Islam sendiri. Sekalipun kata-kata itu sudah lama diucapkan, tetapi kesannya telah memberikan imej yang negatif terhadap undang-undang Allah SWT.

Hasilnya, masyarakat bukannya semakin dekat dengan Islam tetapi semakin jahil dan semakin jauh daripada syariat Islam yang sebenar. Syariat Islam bukannya dilihat indah dam cantik, tetapi dilihat primitif, ketinggalan zaman, ouf of date dan sebagainya. Tanggapan seperti ini bukan sahaja berlegar di kalangan non muslim bahkan masyarakat umat Islam sendiri masih keliru di dalam memahami keindahan syariat Islam yang sebenar.

Kekeliruan dan kejahilan ini bertambah parah apabila beberapa isu agama yang berlaku sejak akhir-akhir ini tidak ditangani sebagaimana yang diajar oleh Islam. Natijahnya, Islam semakin dipandang serong oleh masyarakat. Isu-isu seperti larangan non muslim memasuki masjid dan juga bacaan al-Quran di pembesar suara misalnya, ditangani dengan wajah yang lebih cenderung ke arah sentimen tanpa bimbingan ilmu yang sebenar. Hasilnya, sentimen yang dibakar bertambah panas sedangkan panduan sebenar Islam diketepikan.

Saya sifatkan golongan yang menolak, menghina dan mengenepikan syariat Islam khususnya hudud merupakan golongan yang jahil dan tidak mengetahui keindahan syariat Islam itu sendiri. Sekalipun mungkin mereka beragama Islam, tetapi Islam yang dianuti hanya di ruang yang terbatas tanpa didaulatkan sebagai undang-undang yang memerintah. Hakikatnya, menolak undang-undang syariah samalah ertinya dengan menafikan kebijaksanaan Allah SWT selaku Pentadbir alam ini. Kalaulah seorang warganegara yang berani mengkritik undang-undang negaranya sendiri boleh dianggap sebagai menghina dan mempersendakan undang-undang tersebut, maka lebih besar kesalahannya jika seorang Islam berani mengkritik undang-undang Islam sebagai ketinggalan zaman dan tidak sesuai dengan masa, orang ini bukan sahaja mencabar kebijaksanaan dan kekuasaan Allah S.W.T, tetapi boleh menjejaskan imannya sebagai seorang muslim.

Saya yakin, sebahagian besar daripada masalah ini ialah kerana kejahilan terhadap keindahan undang-undang Islam itu sendiri. Justeru, Kelantan mengambil inisiatif untuk mengadakan sambutan Hari Hududullah setiap tahun dan pada tahun ini pula diadakan seminar undang-undang syariah peringkat kebangsaan untuk memberikan pendedahan dari masa ke semasa kepada masyarakat agar apabila tiba saat dan masanya yang membolehkan hudud dilaksanakan, ia akan dilaksanakan dengan penerimaan dan kefahaman daripada masyarakat yang sudah terdidik dengan maklumat-maklumat yang benar.

Optimis

Saya optimis, jika wajah sebenar undang-undang syariah didedahkan, tidak akan ada suara-suara sumbang yang menolak pelaksanaannya nanti. Kata cerdik pandai tidak kenal maka tidak cinta.

Sehubungan itu, besarlah harapan saya agar seminar ini dapat dilaksanakan dari masa ke semasa dan hendaklah dibuka penyertaannya kepada penyertaan masyarakat non muslim untuk datang mendengar dan mengemukakan persoalan agar setiap kemusykilan dapat dijawab oleh para ilmuan bukannya diperdebatkan di dada-dada akhbar sehingga menjadi isu politik yang bias.

Hasarat Kerajaan Negeri ialah untuk mempertingkatkan syiar Islam di Kelantan ini. Oleh itu, saya menyeru kepada semua jabatan kerajaan sama ada negeri atau pesekutuan agar sama-sama bertanggungjawab dalam meningkatkan kualiti iman di kalangan rakyat dengan berkerjasama menyeru kebaikan, mencegah kemungkaran dengan cara masing-masing. Mudah-mudahan kehidupan kita semua ini akan mendapat ihsan dan keberkatan dariNya.

Firman Allah SWT :

ولْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang berjaya”. –Surah Ali Imran, ayat 104.

Apa yang penting difahami bahawa hukum hudud ini bila dilaksanakan, bukannya pelaksananya adalah orang politik. Tetapi hakim yang akan menjatuhkan hukuman. Itupun setelah menjalani perbicaraan yang adil terlebih dahulu. Jadi tidak perlu untuk merasa gerun dan takut dengan hukum hudud kerana bimbang kononnya akan dikuasai oleh orang politik.

Justeru, saya mengharapkan agar tabiat menolak hudud ini dapat diperbetulkan agar jangan menjadi kebiasaan di kalangan masyarakat. Jika gejala penolakan ini tidak dibendung, saya bimbang menjadi satu trend yang sebenarnya membawa kesan yang tidak baik terhadap akidah umat Islam. Jangan merasakan ini sebagai satu isu yang mudah kerana mempertikaikan hukum hudud sebenarnya mempertikaikan Allah SWT.

Penegasan Allah

Sebagai mengingatkan kembali, hayatilah penegasan Allah mengenai hudud yang bertaraf “tilka” memberi makna kehormatan, ketinggian dan peringkat atasan dari segi keutamaannya. Bermakna ia perkara penting. Maka orang yang tidak menerima hudud Allah, orang itu adalah orang durhaka!

Hukuman-hukuman hudud akan dilaksanakan oleh orang yang pakar mengenainya. Penghukuman hudud ada orangnya yang kita panggil hakim. Ia adalah tugas hakim bukannya orang politik. Maka rakyat atau mereka yang ragu, tidak perlu bimbang.

Kita juga kena ingat balik kisah “riddah” pada zaman Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Keputusan beliau ialah mengisytihar perang terhadap golongan riddah. Lalu Saidina Abu Bakar menegaskan: “Usahkan orang tidak mengeluarkan zakat, orang yang tidak beri ‘tali hidung’ (‘iqal) unta, aku akan perangi mereka.” Ia bermakna perbuatan yang bersifat durhaka itu tidak bolleh dibiarkan, kerana bila dibiarkan akan rosaklah masyarakat (orang ramai).

Sama juga, dengan seseorang itu yang membiarkan bacaan fatihah secara tidak betul tajwid, akan berterusan dengan tidak betul. Sedangkan kerana bacaan tidak betul itu, mwenyebabkan ia berubah makna atau menjadi makna yang tidak betul.

Akhirnya, rakaman tahniah dan terima kasih kepada semua pihak yang telah istiqomah dan sentiasa mengambil tanggungjawab menjayakan misi hududullah ini.

*Olahan daripada ucapan pada Sambutan Hari Hududullah Negeri Kelantan, pada 22 Syawal 1432 bersamaan 20 September 2011, jam 10.40 pagi di Balai Islam Lundang, Kota Bharu.